Thursday, July 15, 2010

good info

Perspektif

Perspektif ibu

Pengalaman ibu semasa proses kelahiran mendatangkan perasaan positif dan negatif. Kadangkala ibu mengalami ‘baby blues’ dan antara faktor yang menyumbang ke arah terjadinya perkara ini adalah:
Perubahan biologi.
Kelesuan.
Hilang perhatian.
Peningkatan permintaan atau tanggungjawab di rumah.

Perasaan ini bermula sehari atau sejurus selepas kelahiran dan kebiasaannya berlangsung selama seminggu atau dua minggu dan berakhir dengan sendiri tanpa memerlukan apa-apa rawatan.

Perspektif bapa
Kini ramai bapa memainkan peranan dalam proses kelahiran. Semakin lebih perhatian bapa, perasaan rapat dengan isteri dan anak yang baru dilahirkan semakin besar.
Perspektif bayi
Bayi yang baru dilahirkan menghasilkan hormon ‘tekanan’ yang dipanggil ‘catecholamines’ yang membantu membersihkan paru-paru bayi dan membantu pernafasan normal. Ia juga meningkatkan metabolisme dan tenaga bayi.

Hubungan ibu bapa-bayi
Apabila ibu dan bayi menghabiskan masa bersama selepas kelahiran, ini dapat menghasilkan hubungan istimewa yang membantu bayi membesar. Selepas sebulan, ibu dapat merasakan respons dari bayi mereka. Terdapat masa sensitif sejurus selepas kelahiran di mana ia adalah hubungan fizikal antara ibu dan bayi dan apabila hubungan ini terganggu, kegagalan keibubapaan akan terjadi dan ini menyebabkan anak lebih berisiko didera dan diabaikan.

Ciri-ciri Bayi yang Baru Dilahirkan
Bayi yang baru dilahirkan sehingga berusia 1 ataupun 2 bulan dipanggil neonate. Bagi bertahan, bayi yang baru dilahirkan ini perlu berjaya mengharungi 4 perkara major seperti:
Bernafas dengan sendiri.
Melakukan pertukaran peredaran darah.
Mengawal suhu badan.
Menghadamkan makanan.
Penampilan fizikal

Bayi yang baru dilahirkan mempunyai ukuran panjang 19-21 inci dan ini bergantung kepada saiz uterus ibu berbanding genetik. Berat bagi bayi yang baru dilahirkan pula kira-kira 7-7.5 paun. Selepas bayi keluar dari vagina, kepala bayi tidak berbentuk sempurna, muka bengkak dan hidung agak rata. Ini disebabkan oleh tekanan semasa melalui saluran kelahiran. Bayi yang baru dilahirkan ini juga diselaputi oleh selaput berwarna putih dan melekit. Selaput ini dipanggil vernix caseosa dan ia berfungsi sebagai pelindung bayi daripada bakteria.

Skala Apgar digunakan bagi menentukan sama ada bayi memerlukan rawatan kecemasan ataupun tidak. Skala ini adalah salah satu cara mendiagnosis masalah yang berpotensi dialami oleh bayi. Ini berdasarkan 5 perkara yang diuji iaitu respirasi, tindak balas refleks, otot, warna dan degupan jantung.

Refleks

Refleks adalah tindak balas yang mudah, berkoordinasi dan memberikan jalan yang terhad bagi bayi supaya dapat berinteraksi dengan persekitaran mereka. Antara refleks adalah ‘Refleks Perlindungan’ seperti batuk, bersin, kerdipan mata dan pergerakan otot. Refleks ini boleh dijadikan indikator dalam perkembangan sistem saraf. Refleks yang terlalu kuat ataupun lemah atau yang tidak menunjukkan sebarang perubahan perkembangan mungkin menunjukkan yang bayi itu mempunyai masalah.

Perubahan

Perubahan dapat dilihat pada tahap kebangkitan di mana bayi berjaga-jaga, memberikan perhatian dan alam sedar. Tahap-tahap yang berbeza ini dapat diterangkan dalam 6 kategori major iaitu menangis, meragam, mengantuk, transisi, tidur pura-pura dan tidur nyenyak.

Corak tidur bayi

Bayi yang baru dilahirkan tidur purata 16 jam sehari. Bayi tidak tidur selama 16 jam sekali gus tetapi tidur sebanyak 6 ataupun 7 kali sehari, kira-kira 2 sehingga 3 jam sekali. Bayi yang baru dilahirkan mungkin tidur bagi beberapa minit ataupun jam sepanjang waktu siang. Tetapi dalam 2 minggu yang terakhir, bayi mungkin tidur lebih lama pada waktu malam berbanding waktu siang. Semakin mereka membesar, masa tidur mereka turut berubah.

Peniruan

Salah satu kebolehan istimewa bayi yang baru dilahirkan adalah mereka dapat meniru mimik muka. Bayi yang berusia 1 ke-3 hari dapat meniru mimik muka yang mudah dan pergerakan kepala. Ketika berusia 6 minggu, bayi dapat meniru kelakuan yang dilakukan oleh seseorang individu yang diingatinya.
Penilaian kelakuan neonatal
Kelakuan bayi turut menggambarkan perkembangan dan kesihatan bayi. ‘Skala Penilaian Tingkah Laku Bayi’ atau Neonatal Behavioral Assessment Scale digunakan bagi menilai respons bayi pada persekitaran. Skala ini mengenal pasti bayi yang mengalami kesukaran dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran di luar rahim.

Perkembangan Otak Bayi pada Peringkat Awal

Acara progresif yang berlaku dalam perkembangan otak bayi sangat penting. Bayi yang baru dilahirkan mempunyai kira-kira 100 bilion neuron. Perkembangan yang berlaku merangkumi perkembangan dan pembentukan sel yang mengandungi berbilion talian sinaps. Persekitaran yang tidak sesuai seperti janin yang didedahkan kepada dadah dan alkohol, dapat mengganggu perkembangan ini. Acara regresif pula termasuklah kematian sel dan hilangnya hubungan antara neuron.

Penerimaan Bayi ke atas Dunia Mereka

Penglihatan

Mata adalah salah satu pancaindera yang sangat penting kepada seseorang kerana melalui mata kira-kira 90 peratus daripada rangsangan dari alam sekeliling dapat ditanggapi. Bayi yang baru lahir mempunyai penglihatan yang teruk dan mereka hanya dapat melihat sejauh 20 kaki sahaja. Penglihatan mereka kabur berbanding orang dewasa. Kebiasaannya bayi lebih tertarik kepada objek yang menyerlah, objek yang bergerak, bahagian yang terang dan bahagian yang besar.

Jika kanak-kanak berumur 3 bulan, penyelarasan di antara kedua biji mata ini dapat dicapai dan dengan itu ia mempunyai kebolehan memandang dengan lebih berkesan. Walaupun begitu, oleh sebab otot matanya masih lemah, kerap kali terdapat kekurangan penyelarasan terutama apabila kanak-kanak itu letih atau menangis. Keadaan ini berlanjutan sehingga umur kanak-kanak itu 5 ataupun 6 tahun. Perkembangan mata kanak-kanak mempunyai kaitan yang rapat dengan keadaan kesihatan pemakanan dan juga penggunaan mata itu. Memaksa kanak-kanak membaca huruf yang dicetak dengan saiz yang kecil dapat merosakkan pandangan mereka kerana dengan berbuat demikian, ia akan memaksa otot yang mengawal biji mata bagi mengadakan penyelarasan. Ini mendatangkan keletihan.

Pendengaran

Telinga juga adalah satu daripada pancaindera yang penting bagi menerima rangsangan yang berbentuk suara dan bunyi. Pada masa dilahirkan seseorang bayi sudah mempunyai telinga yang cukup berkembang. Telinga dalam dan telinga tengahnya sudah mencapai peringkat dewasa pada masa ia dilahirkan lagi.

Bayi yang baru lahir tidak dapat mendengar bunyi yang wujud dalam masa yang sekejap dan bayi lebih tertarik kepada suara yang mempunyai pic yang tinggi seperti suara wanita. Bayi lebih mudah mendengar bunyi yang datang dari arah kiri berbanding kanan. Pada masa ia berumur dua bulan, bayi menunjukkan gerak balas yang lebih kepada suara berbanding dengan bunyi lain dan selepas dua bulan ketajaman pendengarannya meliputi semua bunyi lain juga.

Perbezaan utama di antara telinga kanak-kanak dengan telinga orang dewasa selain daripada saiznya adalah keadaan saluran eustachian yang menyambungkan di antara telinga tengah dengan kerongkong. Bagi kanak-kanak kecil, saluran ini masih pendek dan dengan sebab itu apabila kanak-kanak itu dijangkiti penyakit selesema dan batuk, kuman yang membiak di bahagian kerongkong dengan mudah merebak ke bahagian telinga tengah dan menyebabkan kerosakan pendengaran. Oleh yang demikian, sangat mustahak menjaganya supaya penyakit kerongkong, batuk, dan selesema kanak-kanak itu tidak merebak dan berpanjangan.

Dunia rasa

Bayi yang baru lahir tidak memberikan reaksi kepada cairan garam, gula, air limau, kuinin apabila diletakkan pada lidah. Ini membuktikan yang bayi kurang mempunyai kuasa merasa sesuatu. Walaupun begitu, kebolehan merasa ini berkembang dengan cepat kerana dalam masa dua minggu selepas dilahirkan ia dapat membezakan antara rasa manis dengan perbuatan menghisap dan rasa pahit dan masam dengan mengerutkan muka. Perkembangan merasa ini berkembang terus manakala kanak-kanak itu beransur-ansur besar.

Hidung dan deria bau

Deria bau bayi sudah cukup berkembang pada masa ia dilahirkan dan terus berkembang apabila meningkat besar. Penyelidikan menunjukkan yang bayi dapat membezakan di antara bau yang menyenangkan dengan bau yang sebaliknya. Mereka menunjukkan kelakuan menghisap apabila terbau bau yang menyenangkan dan menunjukkan muka yang kecut dan memalingkan muka ke tempat lain apabila terbau bau yang tidak menyenangkan. Walaupun begitu, bayi masih tidak dapat membezakan bau yang lemah. Tetapi ada bukti yang menunjukkan kanak-kanak lebih gelisah apabila terhidu bau yang tidak bersih. Seterusnya apabila ada bau yang lebih kuat, ia dapat menimbulkan kegelisahan yang lebih.

Merasa melalui kulit dan kinestetik

Selain daripada alat pancaindera di atas, seseorang itu menerima maklumat dengan melalui proses merasa daripada kulit dan juga kinestetik iaitu maklumat berkenaan kedudukan badannya pada sesuatu ketika. Kulit bayi mempunyai jalinan yang sangat nipis. Sungguhpun begitu, ia lengkap dengan alat pemerasan seperti alat sentuhan, tekanan, sakit dan suhu seperti yang terdapat pada orang dewasa. Dengan sebab itu, kulit bayi sangat perasa pada semua rangsangan yang kena pada kulitnya. Ia lebih merasakan panas dan sejuk dan memberikan gerak balas yang kuat kepada sentuhan atau geletekan dibandingkan dengan gerak balas yang dilakukan oleh kanak-kanak yang lebih besar.

Bayi juga terlalu perasa pada perubahan kedudukan badannya. Sekiranya bayi itu terjatuh, ditarik kepalanya ke atas ataupun terhentak, ia akan memberikan gerak balas bagi menyesuaikan kedudukannya. Jika seseorang bayi yang baru dilahirkan dipegang dengan tegak, kakinya akan terkapai-kapai seperti orang berjalan. Gerak balas ini kemudiannya berkait dengan daya mengekalkan kedudukan tegak masa berjalan, menunjukkan yang bayi itu berkebolehan memberikan reaksi kepada alat-alat perasa yang terletak pada urat daging dan juga di dalam saluran separuh bulat yang terdapat di dalam telinganya bagi menentukan keseimbangan badan.

Bukti menunjukkan bayi yang baru dilahirkan itu dapat merasa kesakitan dan selepas beberapa lama selepas dilahirkan, daya rasa ini bertambah kuat bagi rangsangan yang sama. Daya rasa sakit berhubung rapat dengan pembelajaran yang semakin dikuasai oleh seseorang itu ketika ia bertambah besar.

Bayi Berisiko
Bayi yang mengalami risiko adalah:
Bayi pramatang atau bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan ataupun terlalu awal sebelum 37 bulan kehamilan.
Bayi yang tidak cukup berat badan.
Bayi yang lahir lebih daripada 37 bulan kehamilan tetapi berat badan kurang daripada 5.5 paun.

Sesetengah bayi memerlukan rawatan kesihatan yang intensif. Sebahagian dari bayi ini menjalani perkembangan yang normal, namun ada antara bayi yang mengalami masalah fizikal dan kognitif. Masalah ini selalunya didapati daripada bayi yang kurang berat badan. Menjaga bayi yang berisiko tinggi ini sangat mencabar dan bergantung kepada masalah bayi. Ini kadangkala memberi tekanan kepada keluarga bayi.


kredit: www.pts.com.my


another info:

http://home.hamidarshat.com/IKKcara.htm

http://www.petua.org/?p=282

0 actions:

Post a Comment

ღTukar tulisan? Silalahღ

ღFollowersღ